Juara Qariah Malaysia: Wang bukan niat bertilawah

Johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa sebanyak enam kali, Rahmas Abdullah, 50, percaya guru yang garang lebih berkesan.


RAHMAS mula memenangi pertandingan tilawah al-Quran ketika masih bujang iaitu pada 1982.


SUDAH enam kali Rahmas Abdullah, 50, menggondol gelaran qariah dalam tilawah al-Quran di peringkat antarabangsa.

Kali pertama memenanginya, iaitu pada 1982, Rahmas masih lagi berstatus bujang. Tahun berikutnya ialah pada 1984, 1985, 1992, dan dua kali pada 1995.

Menyaksikan dan melalui perkembangan demi perkembangan dunia tilawah al-Quran untuk jangka masa yang panjang, Rahmas menjelaskan bahawa penganjur acara berperanan besar menjadi pemudah cara kepada para peserta tilawah al-Quran.


USAHA Rahmas (barisan belakang kanan) mendapat sokongan padu ibu, Zainab Mahmud (barisan belakang kiri), suami, Abu Naim Paimin, (belakang tengah) dan tiga anak mereka (dari kiri) Muhammad Luqman Hakim, 18, Muhammad Ezani, 24 dan Siti Nurhamizah, 22.


“Daripada menganjurkan kursus, menyediakan tenaga pengajar, mengadakan sesi latihan, sehinggalah kepada mencari penaja untuk peserta, saya akui semakin banyak kemudahan disediakan kepada para peserta dari semasa ke semasa.

“Tetapi kemenangan masih bergantung kepada kesedaran dan kesungguhan peserta untuk berlatih dan berusaha ke arah itu.

“Kalau setakat berlatih satu atau dua kali sudah mengharapkan kemenangan, itu agak mustahil.

“Saya yang berusaha sejak berumur sembilan tahun pun tetap ada merasa kekalahan walaupun sudah berlatih bertahun-tahun,” ujarnya yang tidak menolak guru mengaji yang garang sedikit sebanyak membantu keberkesanan latihan yang dijalani.


PENCAPAIAN Rahmas sebelum ini pernah diiktiraf dengan gelaran Setia Mahkota Johor.


Rahmas yang bekerja di Jabatan Penjara di Johor Bahru juga dilihat bernasib baik kerana tidak mendapat halangan daripada pihak majikan untuk berlatih dan menyertai pertandingan tilawah al-Quran selama ini.

Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, dan berpeluang berguru dengan qariah idolanya, Faridah Mat Saman, yang menjuarai lapan pertandingan tilawah al-Quran di peringkat antarabangsa antara 1964 hingga 1991, Rahmas ialah antara qariah yang bakal menerima insentif berbentuk wang tunai RM2,000 setiap bulan untuk sepanjang hayat daripada kerajaan atas sumbangannya mengharumkan nama negara.




Sebagai penerima, Rahmas mengakui bersyukur dengan ganjaran itu dan merasakan ia sebagai satu lagi petanda positif bahawa tilawah al-Quran mempunyai ruang untuk terus berkembang.

Selain itu ia juga membolehkan qari dan qariah terus dilahirkan di negara ini.

“Selama ini, dunia tilawah al-Quran memang sudah menunjukkan perkembangan yang berterusan. Malah semakin lama ia semakin baik.

“Walaupun mendapat insentif berbentuk wang tunai seperti ini bukan niat kami untuk menyertai tilawah demi tilawah namun ia masih dapat memotivasi para peserta dan penganjur untuk meneruskan usaha mereka.

“Selepas ini mereka sudah kurang satu masalah untuk difikirkan dan boleh memberi sepenuh perhatian kepada latihan untuk mempertingkat kemahiran membaca al-Quran.

“Sebagai seorang yang mempunyai pekerjaan tetap, ganjaran itu dapat menokok pendapatan bulanan saya, selain suami juga mempunyai pencen.

“Tetapi buat qari atau qariah lain yang tidak mempunyai pendapatan tetap, saya fikir mereka akan merasakan keseronokan yang tidak ternilai.

“Ada antara qari dan qariah yang bergantung hidup kepada upah mengajar mengaji semata-mata kerana mereka hanya memiliki kemahiran mengaji al-Quran.

“Masalahnya pendapatan seperti itu tidak tetap dan bergantung kepada pelajar, berapa banyak yang pelajar mahu bayar, maka sebanyak itulah saja pendapatan mereka.

“Jadi ganjaran itu sebenarnya sangat berguna kepada mereka,” kata ibu kepada tiga orang anak yang berumur di antara 18 hingga 24 tahun itu.