|
|
Mega: Apa maksud pendidikan seks hinggakan ramai ibu bapa yang skeptikal dengan topik ini?
DR. MASTURA: Timbul skeptikal dan stigma apabila bercakap tentang pendidikan seks adalah akibat penafsiran yang sempit di kalangan kita. Majoriti kita berpendapat, pendidikan seks itu mestilah melibatkan hubungan seks.
Sedangkan tafsirannya adalah lebih luas. Ia meliputi pengajaran tentang kesihatan, kebersihan, hubungan sosial dan gaya hidup sihat.
Gaya hidup sihat ini merangkumi konsep perkahwinan, mengekang perlakuan seks rambang dan juga mencegah penyakit berbahaya.
Sebenarnya, pendidikan ini telah pun berlaku secara tidak langsung di peringkat pra sekolah. Misalnya, apabila kita memperkenalkan anggota badan kepada anak-anak, mengajar mereka bahawa yang boleh membersihkan anggota sulit mereka apabila ke tandas ialah ibu bapa atau guru. Demikian juga sewaktu kita memperkenalkan perbezaan antara lelaki dan perempuan.
Malah, di taska pun sudah diasingkan lelaki dan perempuan. Kalau mandi pun, mereka cepat-cepat pakai tuala kerana rasa malu jika dilihat oleh kawan berlainan jantina.
Inilah sepatutnya maksud pendidikan seks atau pun kesihatan reproduktif yang dicadangkan oleh kerajaan yang perlu difahami oleh kita.
Saidina Umar r.a ada berkata, bermainlah dengan anak kamu selama 7 tahun, umur 7 ke 14 tahun masa untuk mendisiplinkan anak dan apabila berusia 14 ke 21 tahun, berkawanlah dengan mereka. Signifikan kata-kata ini dalam pendidikan seks kepada anak-anak?
DR. MASTURA: Ini menunjukkan bahawa adalah penting bagi ibu bapa memahami psikologi anak-anak. Ibu bapa juga perlu mempelajari kemahiran keibubapaan.
Ilmu ini perlu dipelajari dan kita tidak boleh buat trial and error kerana kesannya akan dilihat untuk jangka panjang. Dengan kata lain, anak-anak perlu diajar dan dididik mengikut tahap kemampuan mereka.
Pada masa yang sama, ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina berpendapat, umur tiga tahun adalah masa paling baik untuk mendisiplinkan anak.
Imam al-Ghazali pula berkata, masa terbaik adalah umur antara mumaiyiz (tujuh tahun) dan baligh. Mumaiyiz bermakna anak-anak sudah boleh membezakan yang bersih dan kotor, yang baik dan buruk. Pada usia ini, ibu bapa wajib mengajar mereka tentang istinjak atau bersuci.
Dari sudut perkembangan kognitif pula, teori Jean Piaget menjelaskan, pada umur tujuh tahun kanak-kanak sudah boleh membezakan yang abstrak dan konkrit.
Ia menunjukkan ada titik pertemuan antara pandangan Islam dan juga teori Barat dalam perkara ini.
Berbalik kepada kata-kata Saidina Umar tadi, pada usia 14 tahun iaitu semasa anak-anak kita remaja, ibu bapa perlu menjadikan mereka kawan. Ini supaya anak-anak boleh meluahkan perasaan dan berkongsi cerita suka dan duka mereka.
Dengan demikian, insya-Allah, mereka tidak mudah terjebak dengan gejala sosial. Sebabnya, mereka sentiasa mempunyai 'kawan' di rumah untuk berkongsi segala masalah iaitu ibu bapa.
Apabila kita tidak mempraktikkan konsep ini, sebaliknya mengambil pendekatan menghukum semata-mata, anak-anak remaja tadi akan memberontak. Seterusnya mencari 'kawan-kawan' yang sealiran dan mula terlibat dalam perbuatan seperti melepak, merempit dan sebagainya.
Masyarakat Melayu umumnya belum terbuka untuk berbincang tajuk seks dengan anak-anak. Adakah elok dikekalkan begitu ada sudah sampai masa kita mengubah persepsi ini?
DR. MASTURA: Saya melihat kita perlu mengubah persepsi ini. Soalnya, jika pendidikan seks tidak diajar di sekolah, apakah jaminan anak-anak kita tidak mempelajarinya melalui Internet.
Ini jauh lebih bahaya daripada yang diajar oleh guru. Di Internet, apakah bentuk tapisan dan panduan yang ada?
Remaja apabila melayari pornografi di Internet akan terdorong untuk mencubanya dalam keadaan mereka sendiri tidak tahu dan tidak memahami konsep hidup sihat.
Sebenarnya, pendidikan seks sudah pun diajar melalui subjek biologi atau sains. Murid-murid telah didedahkan dengan hal seperti pembentukan manusia dan organ-organ dalam badan.
Cuma, ia lebih kepada berorientasikan peperiksaan. Jadi, murid-murid mungkin lebih menumpu kepada menghafal berbanding untuk memahami subjek tersebut dalam kehidupan sebenar.
Dalam pendidikan Islam pun, hal berkaitan seks iaitu jantina turut diajar. Contohnya dalam bab munakahat, pergaulan lelaki dan perempuan, tanda-tanda baligh sehinggalah kepada syarat sah solat iaitu mesti suci daripada hadas kecil dan besar.
Bab aurat adalah salah satu contoh Islam menekankan. Aurat iaitu bahagian tubuh yang wajib ditutup, tidak boleh diperlihatkan dan kita pun tidak boleh melihat aurat orang lain.
Bagi lelaki, auratnya antara pusat hingga ke paras lutut. Aurat wanita pula seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangan.
Dalam hal ini, tiada kelonggaran atau keuzuran bagi seseorang mendedahkan aurat kepada orang lain kecuali untuk tujuan perubatan dan sebab yang dibenarkan syarak.
Malah, lelaki wajib menundukkan pandangannya apabila melihat perempuan seperti dinyatakan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. (al-Nur: 30)
Masalah buang bayi berpunca daripada seks bebas. Apa peranan pendidikan seks dalam menangani hal ini?
DR. MASTURA: Saya melihat kita perlu merangka silibus pendidikan seks mengikut acuan kita. Sebabnya, saya melihat pengajaran sedia ada gagal memahamkan murid-murid tentang seks.
Mereka hanya menghafal, sedangkan fahamnya tidak. Sebab itu, apabila remaja terjebak dalam seks luar nikah, kita selalu kata mereka kurang didikan agama. Betul, ada sebahagian mereka begitu.
Namun, saya nampak mereka ini bukan kurang didikan agama tetapi sistem ilmu kita ada kelemahan. Yang selalu kita tekankan adalah ingat, faham tetapi tidak sampai ke tahap mempraktikkan. Murid-murid tidak boleh menghayati apa yang dipelajari untuk diamal dalam kehidupan.
Silibus itu nanti perlu memberi penekanan yang seimbang antara teori dan praktikal. Contohnya, murid-murid boleh dibawa melawat rumah orang tua-tua dalam kita mengajar tentang 16 nilai murni dalam pendidikan moral.
Nilai-nilai itu antaranya adalah taat pada ibu bapa, berbakti kepada orang tua dan baik hati. Sayangnya, semua itu tidak boleh dibincangkan daripada sudut teori semata-mata.
Dengan membawa pelajar ke rumah orang tua-tua, mereka dapat melihat sendiri bagaimana boleh menghormati dan berbakti kepada golongan itu.
Demikian juga untuk memberi pendidikan tentang gejala buang bayi. Adalah lebih berkesan jika murid-murid dibawa melawat Rumah Perlindungan supaya mereka dapat melihat dan merasai kesan negatif perbuatan tersebut.
Lebih penting lagi dalam hal ini, untuk kita kembali kepada pokok permasalahan iaitu pergaulan bebas yang membawa kepada perlakuan zina.
Pada masa yang sama, faktor-faktor pendorong berlakunya gejala sosial dan maksiat perlu kita sekat.
0 comments:
Post a Comment