Suami Isteri dihukum Mati

Suami isteri dihukum mati


Sepasang suami isteri dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, dua tahun lalu.


PULAU PINANG 29 Dis. – Sepasang suami isteri dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, dua tahun lalu.

Hakim Nurmala Salim menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Shahrizal Said, 33, dan Zarimah Yusoff, 30, setelah kedua-duanya gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Semasa keputusan dibacakan, Zarimah yang merupakan suri rumah serta suaminya seorang peniaga, kelihatan tenang.

Keputusan itu bagaimanapun membuatkan suasana bertukar pilu apabila ahli keluarga pasangan dari Alor Setar, Kedah itu yang memenuhi galeri awam tidak dapat menahan kesedihan mereka.

Kedua-dua tertuduh disabitkan bersalah mengedar dan memiliki heroin seberat 91.86 gram, 73.76 gram monoacetylmorphines dan 148.6 gram methamphetamine di rumah mereka di Blok 5-6-18, Desa Riang, Batu Uban di sini pada pukul 3.45 petang, 3 Februari 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, hakim mendapati Timbalan Pendakwa Raya, K. Prem berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap suami isteri terbabit.

“Mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh bersalah bagi kesalahan mengedar dadah.

“Oleh kerana di bawah undang-undang di negara ini, hanya ada satu hukuman iaitu hukuman mandatori maka kedua-dua tertuduh digantung sampai mati,” katanya.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, G. Ravi Shankar.

Semasa prosiding membela diri, Shahrizal memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi manakala isterinya memberi keterangan secara bertulis tanpa mengangkat sumpah.

0 comments:

Post a Comment