PUTRAJAYA 7 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan mengapa dakwaan berlakunya satu kes jenayah memperkosa pada 2007 membabitkan seorang anggota Kabinetnya baru ditimbulkan sekarang.
Malah, kata beliau, menteri berkenaan telah pun membuat kenyataan menafikan alegasi tersebut dan bersedia untuk disiasat.
"Beliau telah membuat kenyataan dan bertegas dengan kenyataannya. Jadi, biarkan proses ini dijalankan dan kita tidak boleh menghukum dan mengumumkan tentang sesuatu perkara sehingga siasatan penuh telah dijalankan.
"(Cuma) persoalannya ialah perkara ini berlaku pada 2007 tetapi kenapa ditimbulkan masa sekarang," kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini bagi mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk meneliti peraturan soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Penubuhan suruhanjaya itu adalah bagi menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses siasatan terhadap mendiang Teoh Beng Hock.
Rabu lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menafikan alegasi kononnya beliau terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di Internet dan parti pembangkang terhadapnya.
Rais berkata: "Alegasi liar yang ditujukan terhadap diri saya susulan laporan blog dan parti-parti politik pembangkang di akhir- akhir ini adalah longgokan fitnah dan pendustaan yang dahsyat, jelik dan jahat.
"Saya menyatakan dengan kerelaan bahawa apa-apa laporan yang diperbuat oleh mana-mana pihak setakat ini berkaitan perkara ini wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara."
Kata anggota Parlimen Jelebu itu, laporan polis oleh Pas dan sekutunya di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan pada Selasa lalu susulan spekulasi blogger adalah bukti bahawa alegasi itu bermotifkan politik kotor dengan tujuan supaya rakyat di Jelebu memihak kepada pembangkang sedangkan mereka tiada kesahihan hak untuk membuat laporan sedemikian dari sudut perundangan.
0 comments:
Post a Comment